KEGANASAN DI SEKOLAH: CCTV SAHAJA TIDAK MENCUKUPI
LATAR BELAKANG
Kejadian keganasan dan buli di sekolah sehingga melibatkan kehilangan nyawa amat membimbangkan. Sekolah sepatutnya menjadi tempat anak-anak menuntut ilmu, membina sahsiah dan berasa selamat.
Pelbagai cadangan dikemukakan, termasuk pemasangan CCTV dan rondaan pengawal keselamatan secara berjadual.
Cadangan ini baik, tetapi pada pandangan saya, keselamatan sekolah perlu dilihat sebagai satu sistem yang menyeluruh, bukan secara berasingan (silo).
DI MANA MASALAHNYA?
Dalam pengurusan keselamatan, aspek fizikal, CPTED (Crime Prevention Through Environmental Design), dasar, polisi, peraturan, SOP, penguatkuasaan dan budaya organisasi saling berkait.
CCTV boleh membantu pengawasan dan siasatan. Pengawal pula boleh membantu mencegah serta mengesan kejadian. Namun, kedua-duanya tidak semestinya mampu mengatasi budaya buli, ugutan atau penyalahgunaan pengaruh.
Saya lebih bimbang apabila wujud persepsi bahawa sesetengah pelajar mempunyai kedudukan istimewa kerana pengaruh keluarga, status sosial, kekayaan atau hubungan dengan pihak tertentu.
Di sekolah tidak sepatutnya wujud dua darjat pelajar — satu yang tertakluk kepada peraturan dan satu lagi yang seolah-olah kebal daripada tindakan.
Jika perkara ini berlaku, masalahnya bukan lagi sekadar kelemahan keselamatan fizikal, tetapi kelemahan kepimpinan dan tadbir urus.
CADANGAN DAN RASIONAL
Pertama — Political Will. Kerajaan dan Kementerian Pendidikan mesti menunjukkan ketegasan serta kesungguhan politik. Peraturan hendaklah dikuatkuasakan secara adil tanpa mengira siapa pelajar tersebut atau siapa ibu bapanya. Tindakan mesti berasaskan fakta, prosedur yang sah dan tahap kesalahan.
Kedua — Utamakan kemampuan dan keperluan sebenar. Laksanakan dahulu langkah yang mampu dibuat segera: kenal pasti kawasan berisiko, perbaiki pengawasan, pastikan aduan dilayan, kuatkuasakan SOP dan ambil tindakan awal terhadap ancaman. CCTV dan rondaan perlu ditentukan melalui penilaian risiko, bukannya dipasang atau dilaksanakan sekadar memenuhi desakan.
Ketiga — Pulihkan kewibawaan pentadbiran sekolah. Pengetua, guru dan pihak pengurusan perlu diberi sokongan untuk melaksanakan tanggungjawab secara profesional. Ibu bapa berhak bersuara dan mendapatkan keadilan, tetapi tidak boleh menggunakan kedudukan atau pengaruh untuk mengatasi peraturan sekolah.
Keempat — Bina budaya keselamatan dan disiplin. Pelajar perlu dididik supaya menghormati orang lain, berani melaporkan ancaman dan memahami bahawa setiap perbuatan mempunyai akibat. Mangsa dan saksi pula mesti dilindungi daripada tindakan balas.
PENUTUP
Dalam teori pengurusan keselamatan, pendekatan Defence in Depth menekankan perlindungan melalui beberapa lapisan kawalan. CPTED pula membantu mengurangkan peluang jenayah melalui reka bentuk dan pengurusan persekitaran.
Tetapi dalam amalan, semua kawalan ini memerlukan kepimpinan yang tegas, pelaksanaan yang konsisten dan budaya organisasi yang sihat.
Jangan hanya sibuk memasang CCTV sehingga terlupa membetulkan kelemahan manusia, sistem dan penguatkuasaan.
Sekolah yang selamat bukan sekadar sekolah yang mempunyai banyak kamera dan pengawal, tetapi sekolah yang setiap pelajarnya dilindungi oleh peraturan yang sama, tanpa mengira darjat dan pengaruh keluarga.
Keselamatan sekolah tidak akan terjamin melalui retorik semata-mata, tetapi melalui tindakan, ketegasan dan penguatkuasaan yang konsisten. Pada hari ini menteri (ahli politik) mempunyai kuasa yang tidak terbatas atas segalanya. Yang tinggal hanya mahu atau tidak sahaja. Namun begitu rakyat sudah jelak dengan alasan peruntukan berjuta ringgit hanya untuk didik anak-anak supaya jadi manusia. Terdapat beribu orang profesional bidang pendidikan, psikologi serta pengurusan yang diabaikan tetapi sedia membantu tanpa sebarang imbuhan. Di zaman teknologi ini, mereka lebih suka menyumbang secara diam-diam dan tidak mengharapkan populariti dan imej duniawi. Tinggalkanlah budaya bergambar dan gembar-gembur dengan ucapan yang tidak bermakna serta membazir.
KPM sebenarnya telah mempunyai Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat 2026 dan Polisi Perlindungan Murid. Pada 28 Oktober 2026, kerajaan turut mengumumkan peluasan CCTV di kawasan sekolah berisiko serta penambahan pembantu warden asrama.
Sehingga kini kita belum lihat status perkembangannya pelaksanaan SEkolah Selamat 2026. Siapa aku yg patut tahu perkembangan ini? Yorr laaa... yg ngko gebang-gebang tu buat apa.