13.6.17

Malaysian Security Professional Certificate



Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri keselamatan di Malaysia telah berkembang pesat dari segi keperluan operasi, teknologi, dan tahap profesionalisme. Namun, masih terdapat beberapa kebimbangan praktikal di lapangan. Pertama, sebahagian anggota keselamatan yang berada di ‘frontline’ kelihatan kurang terlatih untuk tugas semasa. Bukan kerana mereka tidak mampu berfikir, tetapi kerana latihan asas yang diterima tidak lagi selaras dengan keperluan operasi hari ini. Kedua, kewujudan pelbagai bentuk persijilan keselamatan khususnya yang menggunakan istilah “certified” menimbulkan persoalan: sejauh mana sijil tersebut benar-benar memenuhi piawaian kompetensi dari sudut akademik, praktikal dan etika? Ketiga, terdapat persepsi bahawa sebahagian pihak mungkin mengeksploitasi nama individu berpengaruh atau institusi tertentu untuk tujuan komersial semata-mata.

Setakat ini, negara kita belum mempunyai satu rangka persijilan keselamatan yang komprehensif dan sewajarnya “diwajibkan” secara nasional, kecuali Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang jelas mempunyai elemen praktikal. Bagaimanapun, SKM sahaja belum mencukupi tanpa sokongan pengetahuan teori yang tersusun. Hal ini sangat penting kerana sektor-sektor seperti perbankan, hotel lima bintang, hospital, lapangan terbang, kampus pendidikan, dan sekolah amat memerlukan tenaga keselamatan yang benar-benar terlatih dan kompeten berdasarkan undang-undang, akta dan polisi dalaman.

Jika menelusuri kembali perbincangan-perbincangan sejak 2017, kita dapati banyak pihak sebenarnya sedar mengenai keperluan perubahan. Namun bergerak ke tahun 2025, isu yang sama masih berulang, seolah-olah tiada kemahuan politik atau institusi untuk memimpin usaha ini. Lebih menyedihkan, apabila terdapat pihak atau individu berautoriti tidak mengambil inisiatif — dan jika ada pihak lain ingin bergerak, mereka pula dihalang. Maka, industri ini kekal “tergantung”: pekerja keselamatan tidak diiktiraf, tidak mempunyai suara di tempat kerja, dan mudah ditegur tanpa perlindungan undang-undang yang jelas. Ironinya, seorang safety officer mempunyai autoriti yang jauh lebih besar berbanding pengawal keselamatan, walaupun kedua-duanya bekerja dalam rangka “keselamatan organisasi”.

Sekiranya wujud peraturan yang mewajibkan syarikat menggaji pengurus, pegawai atau penyelia keselamatan yang diiktiraf dan layak, sudah tentu akan terhasil satu standard latihan yang seragam serta modul tambahan mengikut sektor khusus seperti terminal laut, udara, darat, industri hospitaliti, pertanian, kilang perkilangan, atau oil & gas. Dengan struktur seperti ini, barulah wujud asas untuk menuntut gaji profesional berdasarkan kelayakan diploma, ijazah atau pengalaman industri.

Dalam perbincangan di beberapa IPT dan seminar kebangsaan, cadangan-cadangan ini pernah diketengahkan. Namun halangan terbesar datang daripada kumpulan kecil yang bimbang akan “kehilangan peluang keuntungan”. Akhirnya, yang rugi ialah industri, bukan individu tertentu. Malaysia menuju era negara maju, tetapi dari aspek profesionalisme keselamatan, kita masih jauh ketinggalan — malah dengan Indonesia sekalipun kita masih tidak setara. Di negara jiran, latihan asas keselamatan mengambil masa sebulan dan diwajibkan untuk memperoleh sijil SATPAM. Kita pula masih teragak-agak untuk meletakkan standard minimum bagi sektor-sektor sensitif seperti sekolah, hotel dan bank.

Malaysia sebenarnya mempunyai ramai pakar dalam bidang sumber manusia, latihan, dan pengurusan keselamatan yang bersedia membantu. Mereka hanya memerlukan jaminan bahawa proses ini telus, tidak dimonopoli, bebas kepentingan komersial, dan tidak dicampuri politik yang merencatkan pembangunan industri. Jika prinsip asas ini dihormati, sudah tentu ramai profesional sanggup menyumbang masa dan kepakaran.

Tambahan pula, negara sudah memiliki rangka kerja seperti TVET dan NOSS dalam bidang keselamatan. Namun sebelum ia terus diguna pakai, industri perlu meneliti kandungannya secara serius untuk memastikan ia benar-benar menyokong keperluan operasi semasa. Sesiapa yang pernah meneliti modul-modul tersebut pasti memahami keperluan untuk dikemaskini.

Melalui pengalaman praktikal juga dapat dilihat bahawa tidak semua individu sesuai menjadi tenaga pengajar atau fasilitator. Mengajar dalam bidang keselamatan bukan sekadar memiliki sijil atau pandai bercakap. Ia memerlukan kefahaman mendalam terhadap realiti kerja seorang pengawal yang bertugas 12 jam sehari, ditegur oleh pegawai atasan, dan berdepan risiko keselamatan sebenar. Tenaga pengajar yang tidak pernah bekerja di lapangan kadang-kala tidak memahami tekanan sebenar yang dihadapi pengawal, termasuk situasi di mana pihak atasan sendiri melanggar SOP atau mengambil kesempatan.

Oleh itu, tidak hairanlah sektor keselamatan tidak berkembang sebagaimana yang diharapkan. Sehingga kini, belum ada badan yang benar-benar komited untuk mewujudkan sijil rasmi yang diiktiraf secara nasional. Mesyuarat berlangsung bertahun-tahun tetapi hasilnya tidak signifikan. Badan induk yang sepatutnya memimpin pula tidak mengambil langkah proaktif dan dalam masa yang sama tidak mengizinkan pihak lain mengemudi perubahan.

Jika diberi ruang, kerjasama dengan badan profesional keselamatan dari Australia atau United Kingdom boleh dijadikan satu alternatif untuk memacu pemerkasaan industri melalui IPT tempatan. Lagipun, banyak struktur dan sistem kita sendiri berpaksikan model negara-negara tersebut.