25.11.25

Isu Kualiti Perkhidmatan Keselamatan


Cabaran Perkhidmatan Keselamatan Fizikal

Perkhidmatan sekuriti di Malaysia berada dalam kedudukan yang unik — kewujudannya kelihatan di setiap bangunan, hospital, hotel, kilang, bank, lapangan terbang, universiti dan ladang. Namun dalam masa yang sama, sektor ini sering dianggap sebagai sektor “asal ada”. Ramai pemilik premis melihat sekuriti sebagai syarat undang-undang atau keperluan insurans sahaja, bukan satu sistem perlindungan menyeluruh. Dalam sektor seperti kedai emas, permintaan popular ialah “pengawal mesti bersenjata api,” walaupun pengawal itu sebenarnya warga emas, tidak berada di posisi strategik, dan tidak mempunyai latihan taktikal sebenar. Ini bukan sekuriti — ini hanya ilusi keselamatan.

Masalah menjadi lebih serius apabila organisasi terlalu berorientasikan keuntungan. Banyak syarikat sekuriti persendirian beroperasi dengan margin keuntungan yang sangat nipis. Akibatnya, latihan formal, pensijilan kompetensi dan latihan taktikal dianggap sebagai kos, bukan pelaburan. Pengawal dihantar ke lokasi tugasan hanya untuk memenuhi syarat lesen, audit, insurans dan dokumentasi — cukup syarat tetapi tidak cukup kompeten. Lebih malang lagi, bila syarikat mengeluarkan belanja melatih, kebanyakan pengawal berhenti dan bekerja dengan syarikat lain. Ini dilema industri yang berulang-ulang.

Dalam sesetengah organisasi, jabatan sekuriti pula menjadi seperti bola ping pong — semuanya tidak mahu memikul tanggungjawab mengurusnya. Kadang-kadang diletakkan di bawah HR, kemudian pindah bawah operasi, kemudian pindah bawah pentadbiran. Sedangkan di negara yang lebih maju, sekuriti adalah jabatan strategik yang melapor terus kepada Managing Director, setanding dengan Jabatan Audit Dalam dan Risk Management Department. Sekuriti bukan “penjaga pintu”, tetapi komponen utama dalam enterprise risk governance.

Masalah lain yang sering berlaku ialah fenomena “semua orang rasa mereka pakar sekuriti”. Orang luar suka mengarah sana-sini, memberi arahan kepada pengawal, atau mengubah SOP, walhal mereka sendiri tidak tahu mengapa gate utama perlu dua pengawal, atau mengapa shift 12 jam tidak sesuai kerana ia menjejaskan kewaspadaan, kesihatan dan tindak balas kecemasan pengawal. Mereka juga tidak sedar bahawa pengawal berumur tidak boleh berdiri lama atau bertugas malam kerana risiko kesihatan, tetapi masih memberi arahan tanpa memahami prinsip asas fisiologi pekerjaan (occupational health). Ada kalanya mengarah Pengawal Keselamatan mengawal trafik, tetapi tidak sedar risiko kemalangan, tuntutan insuran serta tindakan mahkamah, walhal Pengawal Keselamatan tiada autoriti sebagai seorang anggota Polis. Namun di sini, hanya anggota Trafik sahaja yang dibenarkan. Kita lihat selalu ia berlaku di sekolah rendah amnya.

Lebih merumitkan, Malaysia mengamalkan penggunaan pekerja asing dalam sektor ini — ramai yang tidak fasih Bahasa Malaysia mahupun Inggeris. Komunikasi menjadi sukar, terutama semasa kecemasan. Latar belakang mereka juga tidak jelas, menimbulkan kebimbangan dari sudut integrity screening, insider threat, dan trustworthiness. Tetapi organisasi tetap mengambil mereka kerana kos lebih murah atau mereka lebih setia. Mereka tidak lompat sana sini mencari tempat kerja yang lebih selesa.

Satu lagi cabaran ialah masyarakat tidak memahami bahawa ancaman sekuriti berbeza mengikut industri. Sekuriti lapangan terbang melibatkan aviation security, profiling, dan anti-terrorism; sekuriti hospital menuntut pengurusan pesakit agresif dan perlindungan maklumat; sekuriti hotel fokus kepada hospitality intelligence; bank pula melibatkan high-value assets; ladang sawit pula berdepan isu pencerobohan, wildlife conflict dan kecurian hasil. Maka latihan dan kompetensi pengawal mesti disesuaikan dengan risiko — bukan dilatih secara “satu modul untuk semua industri”.

Dari sudut profesionalisme, industri sekuriti mempunyai banyak konsep penting yang jarang difahami masyarakat umum — seperti Broken Windows Theory, Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED), criminology, security audit, threat assessment, incident investigation, penetration testing, dan physical security inspection. Semua ini memerlukan kemahiran analitik, pengalaman, dan pengetahuan formal. Namun di negara kita, banyak kursus sekuriti di-komersialkan untuk mencari keuntungan jangka pendek, sedangkan institusi pengajian tinggi menawarkan kursus yang jauh lebih berkualiti dan akademik. Satu isu yang jarang kita sedar bahawa pilferage menyebakan kerugian yang tinggi majikan tanggung setiap tahun tanpa mereka sedari. Kejadian kecurian banyak dilakukan oleh staf dalaman atau mereka bersubahat dengan pihak luar. Dan kita belum lagi meneliti tentang espionage dan sabotage yang berkaitan rapat dengan corporate intelligence.

Realitinya, selagi jabatan sekuriti tidak diiktiraf sebagai jabatan kritikal yang menjaga harta, aset, reputasi dan nyawa manusia 24 jam sehari, selagi itulah industri ini akan kekal dipandang rendah. Sekuriti diperlukan pada saat-saat paling genting — kebakaran, kecurian, keganasan, kecederaan, pencerobohan, ataupun kecemasan perubatan. Tanpa latihan yang betul, tanpa kepercayaan, tanpa penghormatan, dan tanpa kuasa yang wajar, sektor ini tidak akan mampu memberikan perlindungan sebenar.

Kesimpulannya, sekuriti bukan sekadar orang yang berdiri di pintu masuk. Ia adalah lapisan pertahanan terakhir organisasi. Ia memerlukan kompetensi, latihan berterusan, pemahaman risiko, serta sokongan penuh pengurusan. Jika kita mahukan industri ini dihormati, kita mesti bermula dengan menghormati profesion ini sendiri — dengan memastikan mereka yang bekerja dalam sektor ini benar-benar layak, benar-benar terlatih, dan benar-benar menjalankan fungsi sekuriti, bukan sekadar menjadi hiasan di pintu masuk.

Hanya perubahan paradigma dan political-will (di organisasi korporat ada juga aktiviti yang sama di kenali sebagai  office politics) oleh pengurusan yang boleh membaiki keadaan ini. Sekuriti harus dilihat sebagai salah satu strategic partner, dan bukan lagi kumpulan janitor yang diperlukan atau dihargai di dalam sesuatu insiden.