26.11.25

RONDA KESELAMATAN - REALITI SEBENAR

“Ronda Keselamatan – Realiti Sebenar.” Bunyi macam serius, kan? Tapi realitinya… haa, mari kita buka cerita.

Rondaan di kebanyakan tempat sebenarnya mudah saja konsepnya: jalan-jalan, naik motor sikit, tengok-tengok, pandang-pandang, dan akhirnya laporan pun tulis “BAIK.” Semua “BAIK”. Kadang-kadang terlalu baik sampai rumput panjang pun dianggap baik, pagar tercabut pun masih baik, CCTV tak hidup pun baik juga!

Di lebuh raya, di kilang, di mana-mana pun sama. Kadang-kadang rondaan kita ikut “siapa yang dia nak tolong dulu.” Yang lain-lain? Ambik syarat saja, bos.

Dan tak sah kalau tak singgah pit stop: singgah minum, borak ringan, update cerita dunia. Ada juga yang balik rumah sekejap, kononnya “ambil barang.” Eh sekali hantar anak sekolah lah, ambil anak tadika lah. Realiti, bang… realiti!

Bila hujan lebat — haa, yang ini semua orang faham. “Bro… hujan lebat bro… faham-faham laaa.” Hujan pun jadi alasan halimunan untuk hilang dari rondaan 30–40 minit. Power!

Tak cukup dengan itu, kita jumpa pula telefon Nokia lama atas meja. Kita pun cakap dalam hati: “Eh… siapa tinggal batu bata ni? Ni telefon ke penahan pintu?”

Semua ini memang kelakar kalau diceritakan. Tapi di sebalik lawak-lawak ini… ada benda yang lebih serius.


Bahagian Seriusnya – Benda Yang Orang Jarang Sedar

Dalam rondaan, ada beza antara tengok, nampak, dan perhatikan.

  • TengokMata buka, jiwa tak ada.
  • NampakMata fokus, otak tak proses.
  • PerhatikanMata tengok, otak fikir, hati peka.

Dan semua itu… bermula dari hati & sikap.

Rondaan bukan sekadar berjalan ikut jadual.
Ia adalah:

  1. Mahu benar-benar membantu.
  2. Mahu benar-benar periksa.
  3. Mahu selesaikan masalah kecil sebelum jadi besar.
  4. Mahu rekod dan lapor dengan jujur, bukan “asal siap”.
  5. Mahu jaga harta dan nyawa orang lain seolah-olah itu keluarga sendiri.

Rondaan yang betul-betul rondaan datang dari jiwa, bukan dari kasut yang mengelilingi bangunan 4 kali semalam.

Sebab itu dalam sekuriti, perkara paling kritikal bukan pistol, bukan baton, bukan CCTV — tetapi sikap manusiaKalau hati tak ada pada tugas, rondaan pun hanyalah sekadar jalan-jalan cuci matapertama ada organisasi. ada SOP. ada matlamat atau tujuan.

lagi pertama lagi utama.... Apabila kita mencari rezeki yang halal, Allah bukan sekadar memberi kita pendapatan — Dia memberi kita keberkatan.

Dan keberkatan ini,  tidak selalu datang dalam bentuk angka yang besar. Kadang-kadang gaji tidak banyak mana, tetapi ajaibnya ia sentiasa cukup… malah lebih daripada cukup. Makanan terasa sedap walau sederhana, rumah terasa luas walau kecil, dan hati terasa lapang walau hidup diuji.

Keberkatan juga turun dalam bentuk yang tidak ternilai: Hati yang tenang, walaupun dunia sekeliling sibuk. Tubuh yang sihat, walaupun usia makin meningkat. Pasangan yang setia dan saling menyayangi, walaupun hidup tidak mewah. Dan, anak-anak yang baik akhlaknya, yang menjadi penyejuk mata dan penawar hati.

Itulah hadiah Allah bagi mereka yang memilih jalan halal — kehidupan yang tidak sekadar “cukup”, tetapi penuh makna, penuh rahmat, dan penuh kasih sayang yang tidak ternilai oleh wang.  

RONDAAN SEBENAR ATAU SEPATUTNYA

Selepas kita ketawa dengan realiti rondaan “jalan-jalan, tengok-tengok, semua BAIK”, tibalah masanya kita masuk kepada apa yang sebenarnya perlu berlaku. Rondaan bukan sekadar rutin—ia adalah tulang belakang sekuriti fizikal dalam mana-mana organisasi. Dan bila kita faham tujuan sebenar rondaan, baru kita tahu betapa besar amanah yang kita pikul setiap kali kita melangkah keluar dari pos.


1. Matlamat Utama Rondaan

Tujuan rondaan bukan untuk “tunjuk muka”, bukan untuk pusing-pusing kawasan, dan bukan untuk cukupkan syif. Tujuannya jauh lebih besar:

Memastikan kawasan berada dalam keadaan normal

Normal bukan bermaksud “tenang”. Normal bermaksud semua berada seperti sepatutnya — pintu berkunci, lampu berfungsi, tiada orang mencurigakan, tiada kebakaran kecil yang baru hendak bermula, tiada air bocor, tiada tanda pencerobohan.

Mengesan ancaman sebelum ancaman berlaku

Inilah konsep pencegahan awal seperti dalam asas CPTED (Crime Prevention Through Environmental Design):
Jika kita boleh lihat mereka, mereka boleh nampak kita. Ini mengurangkan niat, peluang dan keberanian penjenayah.

Melindungi harta dan nyawa

Setiap langkah rondaan membawa dua amanah besar: harta organisasi dan keselamatan manusia di dalamnya. Rondaan yang cuai boleh membawa bahaya besar—kecurian, kebakaran, sabotaj, atau kemalangan.


2. Peranan & Tanggungjawab Semasa Rondaan

Rondaan bukan sekadar pergerakan badan, ia adalah pergerakan minda.

a) Peka terhadap perubahan

Setiap kali rondaan, tanya diri:

  • Ada apa yang berubah?
  • Kenapa ia berubah?
  • Adakah perubahan itu ancaman?
  • Apakah tindakan yang perlu diambil?

b) Catat & lapor secara jujur

Tiada rondaan yang “perfect”.
Bila kita lapor semua Baik, itu tanda bahaya.
Bos tak marah kalau kita lapor masalah—bos marah kalau masalah bocor di luar.

c) Gunakan deria, bukan kaki sahaja

Rondaan yang berkesan ialah gabungan:

  • melihat,
  • mendengar,
  • menghidu,
  • memerhati,
  • berfikir.

Bunyi pam air pelik, bau terbakar, lampu malap, rumput panjang, motosikal tanpa tuan, pintu terbuka — semuanya ialah petunjuk keselamatan.

d) Fahami pola ancaman (modelling)

Rondaan bukan rawak. Kita mesti faham:

  • bila ancaman berlaku,
  • di mana lokasi panas,
  • siapa sasaran,
  • apa kaedah mereka (modus operandi),
  • dan bagaimana mereka melarikan diri.

Ini seperti mini-analisis criminology.


3. Teknik Rondaan Yang Betul

Rondaan berstrategi (strategic patrol)

Bukan ikut laluan sama setiap masa.
Penjenayah pun belajar. Mereka perhati kita.
Kita mesti ada variasi masa, laluan dan tempo.

Rondaan dengan rekod (audit trail)

Catatan perlu ada masa, lokasi, penemuan & tindakan.
Ini asas security audit.

Rondaan berdasarkan risiko (risk-based patrol)

Kawasan tinggi risiko → lebih kerap
Kawasan rendah risiko → cukup sekadar pemerhatian minima

Rondaan bukan “periksa kawasan” tetapi “semak tingkah laku persekitaran”

Ini perbezaan antara:

  • Tengok bangunan (salah)

  • Nilai apa yang berlaku di sekeliling bangunan (betul)


4. Peranan Pengurusan Sekuriti & Penyelia

Rondaan tidak boleh berjaya tanpa struktur dan sokongan pengurusan.

a) Pengurusan Sekuriti Bertanggungjawab Atas:

  • menyediakan SOP rondaan,
  • menyediakan route map,
  • melatih anggota dalam teknik pemerhatian,
  • membekalkan teknologi seperti bodycam, torchlight, dan device laporan,
  • mengkaji semula laporan rondaan setiap minggu,
  • dan memastikan semua rondaan selaras dengan security risk assessment.

b) Penyelia Sekuriti Bertanggungjawab Atas:

  • memantau kehadiran & prestasi rondaan,
  • turun padang memeriksa rondaan sekali-sekala,
  • memastikan pengawal faham “apa mereka cari” bukan sekadar “ke mana mereka pergi”,
  • mengaudit log buku,
  • memberi teguran serta latihan segera jika ada kelemahan,
  • menghubungkan laporan rondaan dengan tindakan pembaikan (corrective action).


5. Kesimpulan – Rondaan Adalah Ibadah Amanah

Akhirnya, rondaan bukan soal kaki melangkah, tetapi soal hati bekerja.

Rondaan sebenar lahir dari:

  • jiwa yang bertanggungjawab,
  • minda yang peka,
  • sikap yang amanah,
  • dan semangat untuk melindungi.

Kalau rondaan dibuat dengan betul, kita sebenarnya sedang menyelamatkan:

  • organisasi,
  • harta,
  • nyawa,
  • dan masa depan pekerja lain.

Kadang-kadang kita tidak sedar… seorang pengawal yang meronda dengan betul mungkin sedang menyelamatkan 500 nyawa tanpa sesiapa pun tahu.

Itulah kemuliaan kerja sekuriti yang sebenar.



25.11.25

Isu Kualiti Perkhidmatan Keselamatan


Cabaran Perkhidmatan Keselamatan Fizikal

Perkhidmatan sekuriti di Malaysia berada dalam kedudukan yang unik — kewujudannya kelihatan di setiap bangunan, hospital, hotel, kilang, bank, lapangan terbang, universiti dan ladang. Namun dalam masa yang sama, sektor ini sering dianggap sebagai sektor “asal ada”. Ramai pemilik premis melihat sekuriti sebagai syarat undang-undang atau keperluan insurans sahaja, bukan satu sistem perlindungan menyeluruh. Dalam sektor seperti kedai emas, permintaan popular ialah “pengawal mesti bersenjata api,” walaupun pengawal itu sebenarnya warga emas, tidak berada di posisi strategik, dan tidak mempunyai latihan taktikal sebenar. Ini bukan sekuriti — ini hanya ilusi keselamatan.

Masalah menjadi lebih serius apabila organisasi terlalu berorientasikan keuntungan. Banyak syarikat sekuriti persendirian beroperasi dengan margin keuntungan yang sangat nipis. Akibatnya, latihan formal, pensijilan kompetensi dan latihan taktikal dianggap sebagai kos, bukan pelaburan. Pengawal dihantar ke lokasi tugasan hanya untuk memenuhi syarat lesen, audit, insurans dan dokumentasi — cukup syarat tetapi tidak cukup kompeten. Lebih malang lagi, bila syarikat mengeluarkan belanja melatih, kebanyakan pengawal berhenti dan bekerja dengan syarikat lain. Ini dilema industri yang berulang-ulang.

Dalam sesetengah organisasi, jabatan sekuriti pula menjadi seperti bola ping pong — semuanya tidak mahu memikul tanggungjawab mengurusnya. Kadang-kadang diletakkan di bawah HR, kemudian pindah bawah operasi, kemudian pindah bawah pentadbiran. Sedangkan di negara yang lebih maju, sekuriti adalah jabatan strategik yang melapor terus kepada Managing Director, setanding dengan Jabatan Audit Dalam dan Risk Management Department. Sekuriti bukan “penjaga pintu”, tetapi komponen utama dalam enterprise risk governance.

Masalah lain yang sering berlaku ialah fenomena “semua orang rasa mereka pakar sekuriti”. Orang luar suka mengarah sana-sini, memberi arahan kepada pengawal, atau mengubah SOP, walhal mereka sendiri tidak tahu mengapa gate utama perlu dua pengawal, atau mengapa shift 12 jam tidak sesuai kerana ia menjejaskan kewaspadaan, kesihatan dan tindak balas kecemasan pengawal. Mereka juga tidak sedar bahawa pengawal berumur tidak boleh berdiri lama atau bertugas malam kerana risiko kesihatan, tetapi masih memberi arahan tanpa memahami prinsip asas fisiologi pekerjaan (occupational health). Ada kalanya mengarah Pengawal Keselamatan mengawal trafik, tetapi tidak sedar risiko kemalangan, tuntutan insuran serta tindakan mahkamah, walhal Pengawal Keselamatan tiada autoriti sebagai seorang anggota Polis. Namun di sini, hanya anggota Trafik sahaja yang dibenarkan. Kita lihat selalu ia berlaku di sekolah rendah amnya.

Lebih merumitkan, Malaysia mengamalkan penggunaan pekerja asing dalam sektor ini — ramai yang tidak fasih Bahasa Malaysia mahupun Inggeris. Komunikasi menjadi sukar, terutama semasa kecemasan. Latar belakang mereka juga tidak jelas, menimbulkan kebimbangan dari sudut integrity screening, insider threat, dan trustworthiness. Tetapi organisasi tetap mengambil mereka kerana kos lebih murah atau mereka lebih setia. Mereka tidak lompat sana sini mencari tempat kerja yang lebih selesa.

Satu lagi cabaran ialah masyarakat tidak memahami bahawa ancaman sekuriti berbeza mengikut industri. Sekuriti lapangan terbang melibatkan aviation security, profiling, dan anti-terrorism; sekuriti hospital menuntut pengurusan pesakit agresif dan perlindungan maklumat; sekuriti hotel fokus kepada hospitality intelligence; bank pula melibatkan high-value assets; ladang sawit pula berdepan isu pencerobohan, wildlife conflict dan kecurian hasil. Maka latihan dan kompetensi pengawal mesti disesuaikan dengan risiko — bukan dilatih secara “satu modul untuk semua industri”.

Dari sudut profesionalisme, industri sekuriti mempunyai banyak konsep penting yang jarang difahami masyarakat umum — seperti Broken Windows Theory, Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED), criminology, security audit, threat assessment, incident investigation, penetration testing, dan physical security inspection. Semua ini memerlukan kemahiran analitik, pengalaman, dan pengetahuan formal. Namun di negara kita, banyak kursus sekuriti di-komersialkan untuk mencari keuntungan jangka pendek, sedangkan institusi pengajian tinggi menawarkan kursus yang jauh lebih berkualiti dan akademik. Satu isu yang jarang kita sedar bahawa pilferage menyebakan kerugian yang tinggi majikan tanggung setiap tahun tanpa mereka sedari. Kejadian kecurian banyak dilakukan oleh staf dalaman atau mereka bersubahat dengan pihak luar. Dan kita belum lagi meneliti tentang espionage dan sabotage yang berkaitan rapat dengan corporate intelligence.

Realitinya, selagi jabatan sekuriti tidak diiktiraf sebagai jabatan kritikal yang menjaga harta, aset, reputasi dan nyawa manusia 24 jam sehari, selagi itulah industri ini akan kekal dipandang rendah. Sekuriti diperlukan pada saat-saat paling genting — kebakaran, kecurian, keganasan, kecederaan, pencerobohan, ataupun kecemasan perubatan. Tanpa latihan yang betul, tanpa kepercayaan, tanpa penghormatan, dan tanpa kuasa yang wajar, sektor ini tidak akan mampu memberikan perlindungan sebenar.

Kesimpulannya, sekuriti bukan sekadar orang yang berdiri di pintu masuk. Ia adalah lapisan pertahanan terakhir organisasi. Ia memerlukan kompetensi, latihan berterusan, pemahaman risiko, serta sokongan penuh pengurusan. Jika kita mahukan industri ini dihormati, kita mesti bermula dengan menghormati profesion ini sendiri — dengan memastikan mereka yang bekerja dalam sektor ini benar-benar layak, benar-benar terlatih, dan benar-benar menjalankan fungsi sekuriti, bukan sekadar menjadi hiasan di pintu masuk.

Hanya perubahan paradigma dan political-will (di organisasi korporat ada juga aktiviti yang sama di kenali sebagai  office politics) oleh pengurusan yang boleh membaiki keadaan ini. Sekuriti harus dilihat sebagai salah satu strategic partner, dan bukan lagi kumpulan janitor yang diperlukan atau dihargai di dalam sesuatu insiden.