Keselamatan fasiliti dan aset juga merupakan komponen kritikal dalam aspek fizikal. Semua aset perlu dikenal pasti, direkodkan, dan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan kehilangan, kerosakan, atau penyalahgunaan. Aset yang tidak digunakan hendaklah disimpan dalam keadaan selamat, dikunci, dan ditutup (OFF) bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kemalangan. Pendekatan ini bukan sahaja melindungi harta organisasi, malah menyumbang kepada persekitaran kerja yang lebih selamat dan teratur.
Namun demikian, kekuatan sebenar keselamatan holistik terletak pada elemen manusia. Semua anggota keselamatan perlu dilatih secara formal, kompeten dalam tugas, peka terhadap ancaman, serta mampu bertindak dengan tegas tetapi sopan. Profesionalisme anggota keselamatan mencerminkan tahap keselamatan sesebuah premis. Dalam masa yang sama, semua kakitangan lain juga perlu mempunyai kesedaran keselamatan asas, mematuhi prosedur operasi standard (SOP), polisi, dan peraturan yang ditetapkan. Keselamatan bukan tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh warga organisasi.
Pihak ketiga seperti kontraktor, pembekal, dan pekerja luar yang berada di dalam premis turut tertakluk kepada peraturan keselamatan yang sama. Mereka wajib mematuhi SOP, polisi, dan peraturan organisasi tanpa pengecualian. Kelonggaran terhadap pihak ketiga sering menjadi titik lemah keselamatan, justeru kawalan, pemantauan, dan kesedaran perlu dikuatkuasakan secara konsisten.
Aspek bukan fizikal pula melibatkan perlindungan maklumat dan pengurusan tingkah laku manusia. SOP, polisi, dan peraturan keselamatan hendaklah sentiasa dikemas kini selaras dengan perubahan risiko dan keperluan operasi. Semua dokumen penting dan maklumat sensitif perlu disimpan dengan selamat, dikunci, dan hanya boleh diakses oleh individu yang diberi kebenaran. Amalan perkongsian kata laluan hendaklah dielakkan, dan prinsip need to know basis perlu dipatuhi bagi memastikan maklumat berdarjah hanya dikendalikan oleh pihak yang layak.
Selain itu, penerapan prinsip Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED) perlu dilaksanakan dan dikuatkuasakan secara menyeluruh, sama ada di dalam atau di luar bangunan. Reka bentuk persekitaran yang selamat, pencahayaan yang mencukupi, laluan yang jelas, dan kawalan semula jadi terhadap pergerakan manusia mampu mengurangkan peluang jenayah dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan penghuni premis.
Kesimpulannya, keselamatan holistik premis hanya dapat dicapai apabila elemen fizikal, bukan fizikal, dan manusia digabungkan secara bersepadu dan konsisten. Pendekatan ini menuntut bukan sahaja sistem dan peralatan yang baik, tetapi juga sikap, disiplin, dan kesedaran semua pihak yang berada dalam premis. Dengan mengamalkan keselamatan sebagai satu budaya organisasi, bukan sekadar prosedur, risiko dapat diminimumkan dan persekitaran yang selamat serta berdaya tahan dapat diwujudkan secara berterusan.

No comments:
Post a Comment