Suatu ketika saya bertanya dengan nada biasa,
“Encik bertugas di sini?”
Jawapannya ringkas,
“Ya… jaga gate, encik.”
Jawapan seperti ini bukan sesuatu yang asing. Malah, ia telah lama saya dengar dalam pelbagai situasi. Di sinilah bermulanya satu pemerhatian yang wajar kita renungi bersama. Seolah-olah jika mangga rosak, tidak mengapa. Jika pintu pagar kelihatan uzur atau hampir tumbang, juga tidak mengapa. Orang keluar masuk dengan senyuman dan ucapan terima kasih, maka tugas dianggap sudah selesai.
Secara peribadi, saya lebih tertarik sekiranya seorang pengawal sekuriti menjawab dengan penuh keyakinan, “Saya bertanggungjawab menjaga keselamatan sekolah ini, encik.”
Jawapan sebegini mencerminkan kefahaman terhadap peranan sebenar seorang pengawal sekuriti — bukan sekadar menjaga pintu masuk, tetapi meliputi keselamatan sekolah, murid-murid, warga kerja serta keseluruhan aset yang diamanahkan. Ia menggambarkan rasa tanggungjawab dan kesedaran profesional yang lebih menyeluruh.
Itu baru satu perkara. Perkara kedua pula lebih besar dan lebih sensitif.
Dalam banyak keadaan, pengawal sekuriti turut diminta mengawal pergerakan kenderaan yang menghantar dan mengambil murid. Persoalannya, adakah mereka benar-benar dilatih untuk tugas tersebut? Adakah peranan dan kuasa mereka jelas? Bagaimana pula dengan perlindungan insurans? Sekiranya berlaku kemalangan atau insiden jenayah seperti penculikan, siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab — pengawal, syarikat keselamatan, pihak sekolah, atau kementerian?
Saya akui, saya sendiri tidak arif sepenuhnya dalam semua aspek ini, dan saya juga tidak ingin membuat andaian yang melampau. Namun persoalan-persoalan ini wajar dibincangkan secara terbuka, rasional dan berfakta, demi keselamatan semua pihak yang terlibat.
Pada pandangan saya, sebahagian besar daripada kita masih melihat keselamatan dalam kerangka yang terlalu sempit. Seolah-olah kehadiran seorang pengawal berusia dengan senjata api di hadapan kedai emas sudah mencukupi. Hakikatnya, pendekatan sebegini juga membawa risiko yang tinggi jika tidak diurus dengan kefahaman dan sistem yang betul.
Begitu juga dalam kehidupan seharian. Ada yang memasang pagar rumah yang cantik, namun tanpa disedari menjadikannya lebih mudah diceroboh. Ada pula yang memakai tali pinggang keselamatan semata-mata untuk mengelakkan saman, bukan kerana memahami fungsinya untuk melindungi nyawa.
Ringkasnya, konsep keselamatan itu sangat luas dan kompleks. Ia menuntut latihan yang betul, kefahaman yang mendalam, kepekaan situasi serta sikap bertanggungjawab yang tinggi. Hanya mereka yang benar-benar terdedah dan terlatih dalam bidang ini akan memahami realiti sebenar di lapangan.
Sepanjang pengalaman saya berkhidmat di beberapa organisasi, saya sering mendengar ungkapan, “Semua orang sudah faham tentang keselamatan.” Ungkapan ini mengingatkan saya kepada satu ketika dahulu, apabila ada yang berkata kerja guru itu mudah, askar tiada kerja, atau generasi muda hari ini malas.
Hakikatnya, semua ini adalah persepsi yang perlu diurus dengan bijaksana — terutamanya oleh mereka yang berada dalam profesion tersebut.
Akhir kata, marilah kita sama-sama membuka minda, menilai semula kefahaman kita tentang keselamatan, dan memberi ruang kepada pendekatan yang lebih profesional, berpengetahuan dan berasas. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan kita masing-masing.
No comments:
Post a Comment