1.10.26

KELEMAHAN KESELAMATAN DALAM ORGANISASI

KELEMAHAN KESELAMATAN DALAM ORGANISASI

Dalam pengalaman saya, hampir setiap organisasi mempunyai sistem keselamatan tersendiri. Ada pengawal keselamatan, CCTV, pagar, sistem kawalan akses, peraturan dan SOP. Namun, kewujudan semua ini tidak semestinya bermakna organisasi tersebut benar-benar selamat.

Antara kelemahan yang biasa ditemui ialah pintu keselamatan yang tidak berkunci, CCTV yang rosak atau tidak dipantau, kawasan yang kurang pencahayaan, pelawat yang tidak didaftarkan serta pekerja yang meminjamkan kad akses kepada orang lain. Tidak kurang juga laluan kecemasan yang dijadikan tempat menyimpan barang.

Ada pula organisasi yang mempunyai SOP yang lengkap, tetapi pelaksanaannya sekadar di atas kertas. Pemeriksaan keselamatan jarang dilakukan, kerosakan lambat dibaiki dan teguran pekerja tidak diberikan perhatian.

Persoalannya, adakah masalah ini berpunca daripada kekurangan peralatan atau kelemahan manusia dan pengurusan?

Pada pandangan saya, kedua-duanya boleh menyumbang kepada risiko. Namun, kelemahan yang paling membimbangkan ialah apabila kecuaian sudah diterima sebagai budaya kerja.

Ungkapan seperti “Tak apa, sekejap saja”, “Dari dulu memang macam ini” dan “Tak pernah berlaku apa-apa pun” akhirnya menyebabkan peraturan dipandang ringan.

Sebab itulah keselamatan memerlukan penilaian risiko, penyelenggaraan, latihan, pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan.

Ingatlah, ketiadaan kejadian bukan bukti bahawa organisasi kita selamat. Mungkin kelemahan yang ada belum lagi diambil kesempatan oleh pihak yang berniat tidak baik.

Sila rujuk dua konsep yang menjadi asas penulisan ini ialah Normalisation of Deviance, yang sering dikaitkan dengan kajian Diane Vaughan mengenai bencana Challenger, dan Routine Activity Theory oleh Cohen dan Felson (1979).

CADANGAN MENGATASI KELEMAHAN KESELAMATAN DALAM ORGANISASI

Berikut ialah langkah-langkah praktikal yang boleh dilaksanakan mengikut keperluan, tahap risiko dan kemampuan organisasi.

1. Penilaian Risiko Keselamatan (Security Risk Assessment)

  • Kenal pasti ancaman, kelemahan dan kawasan berisiko.

  • Tentukan keutamaan tindakan berdasarkan tahap risiko.

  • Laksanakan pemeriksaan keselamatan secara berkala.

2. Keselamatan Fizikal dan Kawalan Akses

  • Pastikan pintu, pagar dan sistem kunci berfungsi dengan baik.

  • Kawal kemasukan pelawat melalui pendaftaran dan pengesahan identiti.

  • Larang perkongsian kad akses dan kunci keselamatan.

  • Pastikan laluan kecemasan sentiasa bebas daripada halangan.

3. CCTV dan Peralatan Keselamatan

  • Periksa fungsi CCTV, penggera dan lampu keselamatan secara berkala.

  • Tetapkan petugas yang bertanggungjawab terhadap pemantauan.

  • Baiki kerosakan dengan segera berdasarkan tahap risiko.

4. SOP, Polisi dan Penguatkuasaan

  • Semak dan kemas kini SOP mengikut keperluan operasi.

  • Pastikan semua pekerja memahami peraturan keselamatan.

  • Laksanakan penguatkuasaan secara adil dan konsisten.

  • Elakkan sikap bertolak ansur terhadap pelanggaran berulang.

5. Latihan dan Kesedaran Keselamatan

  • Adakan latihan Security Awareness kepada semua pekerja.

  • Gunakan latihan ringkas semasa taklimat harian atau mingguan.

  • Tekankan tanggungjawab individu dalam mencegah kejadian.

  • Galakkan pekerja melaporkan keadaan tidak selamat.

6. Penyeliaan dan Audit Keselamatan

  • Laksanakan pemeriksaan mengejut dan rondaan mengikut risiko.

  • Jalankan audit keselamatan secara berkala.

  • Rekodkan kelemahan yang ditemui dan tindakan pembetulan.

  • Pastikan setiap tindakan mempunyai pegawai bertanggungjawab dan tarikh penyelesaian.

7. Kepimpinan dan Budaya Keselamatan

  • Pengurusan atasan mesti menunjukkan teladan yang baik.

  • Sediakan saluran aduan yang mudah dan selamat digunakan.

  • Jangan memperlekehkan pekerja yang melaporkan kelemahan.

  • Hapuskan budaya “Tak apa”, “Bukan kerja saya” dan “Dari dulu memang macam ini.”

Kesimpulan: Tidak semua kelemahan keselamatan memerlukan perbelanjaan besar. Ada yang boleh diperbaiki melalui disiplin, penyeliaan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan yang konsisten.

Prinsipnya mudah: Kenal pasti kelemahan, tentukan risiko, ambil tindakan dan pantau keberkesanannya.

Yang penting, jangan hanya mengambil tindakan selepas sesuatu kejadian berlaku.