19 Januari 2025
POLITIK TANAH AIRKU
Wahai saudara-saudaraku Melayu Islam, marilah kita bermuhasabah dengan hati yang tenang dan fikiran yang jujur. Sudah terlalu lama kita terleka, dan dalam kelekatan itu kita juga telah diperleka. Kita sibuk dengan perbezaan kecil, tetapi lupa melihat bahaya besar yang sedang menghakis kekuatan kita sedikit demi sedikit. Hari ini, kita mula bimbang akan satu perkara yang sangat menyakitkan hati: Melayu Islam boleh menjadi lemah di tanah air sendiri.
Kelemahan ini bukan datang secara tiba-tiba. Ia datang kerana perpecahan, kerana kita lebih setia kepada bendera parti daripada roh perpaduan, dan kerana kita terlalu mudah dipengaruhi oleh permainan politik. Parti-parti politik Melayu Islam masing-masing berpegang kepada dasar dan falsafah sendiri. Itu tidak salah. Tetapi apabila perbezaan ini menjadi tembok yang menghalang kerjasama, maka yang rugi bukan parti, tetapi bangsa dan agama.
Hakikatnya, rakyat biasa sentiasa berada di bawah kawalan dan pengaruh kepimpinan politik. Apabila pemimpin berpecah, rakyat ikut berpecah. Apabila pemimpin bertelagah, rakyat menjadi keliru dan jadi mangsa berbagai dasar, polisi dan pentadbiran baru. Sebab itu, kita sebagai rakyat tidak boleh menyerahkan seluruh masa depan kita kepada parti semata-mata. Walaupun tidak menyertai mana-mana parti, kita tetap wajib membuat pilihan yang bijak, kerana pilihan kitalah yang akan menentukan keselamatan dan hala tuju Melayu Islam.
Ingatlah, payung terakhir kita ialah Sultan-Sultan dan Raja-Raja Melayu. Institusi ini juga tidak terlepas daripada tekanan dan permainan politik. Jika rakyat lemah, institusi ini akan lebih mudah diperkecilkan. Maka kekuatan sebenar mesti bermula dari jiwa rakyat sendiri.
Marilah kita bersatu bukan kerana parti, tetapi kerana Allah, Islam, bangsa Melayu, dan masa depan anak cucu kita. Bersatu dalam roh, bersatu dalam tujuan, dan berbeza dengan adab. Jika kita terus berpecah, jangan salahkan orang lain apabila kita akhirnya menjadi lemah di negeri sendiri.
Hanya Islam yang terbukti adil kepada semua bangsa dan agama, dan hanya Melayu yang sudi menerima berbagai kaum dan kepercayaan datang menetap di Tanahair mereka. Dan Islam mengajar kita supaya adil dengan semua manusia.
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah perintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya. Dan apabila kamu berhukum di antara manusia, bahawa kamu menjatuhkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang mengingatkan kamu dengannya. Sesungguhnya Allah, Dia lah Tuhan yang Maha Mendengar, Lagi Maha Melihat. (An-Nisa’: 58)
Kita sudah alami dengan rasuah yang berleluasa dan salah guna kuasa yang melampau seperti berlaku hukuman yang double standard, membenar pencerobohan tanah, 'menghukum rakyat' selepas selesai pilihanraya, negara dan korporat kaya raya manakala rakyat terhimpit, politiking yang keanak-anakan serta perangai 'siapa besar', dan keruntuhan akhlak yang bertentangan dengan budaya dan nilai ketimuran,
Sedar dan bangunlah rakyat semua. Seruan ini demi keselamatan negara yang berbilang kaum, ugama dan kepercayaan. Hanya Islam yang boleh memimpin dengan adil kerana kita berpandukan Al Quran dan Sunnah.
18 Disember 2025
Pemerhatian terhadap perkembangan politik mutakhir menunjukkan bahawa kekalahan besar yang dialami oleh kerajaan dan sekutunya di Sabah telah mencetuskan satu fasa reaksi politik yang kelihatan tergesa-gesa dan defensif. Dalam keadaan ini, pelbagai naratif baharu mula diketengahkan, seolah-olah bertujuan mengalih fokus rakyat daripada isyarat penolakan yang jelas telah dizahirkan melalui proses demokrasi. Pendekatan sedemikian boleh ditafsirkan sebagai usaha pembingkaian semula realiti politik (reframing), di mana isu-isu sampingan diangkat bagi menutup kegagalan menangani isu teras yang lebih mendesak.
Lebih membingungkan, perubahan pendirian dan slogan politik yang sebelum ini diangkat sebagai prinsip perjuangan — seperti retorik “No Anwar, No DAP” — kini kelihatan tidak lagi konsisten. Peralihan ini menimbulkan persoalan serius tentang sama ada prinsip tersebut bersifat ideologi yang tulen atau sekadar alat taktikal yang disesuaikan mengikut keperluan semasa. Apabila slogan berubah tanpa penjelasan yang meyakinkan, keyakinan awam terhadap kejujuran politik turut terhakis.
Keadaan ini mengundang tanggapan bahawa gembar-gembur politik yang dipertontonkan hari ini dan besuk berkemungkinan besar hanyalah satu lakonan strategik atau demonstrasi simbolik kuasa, bukannya cerminan keazaman sebenar untuk memperjuangkan kepentingan rakyat. Lebih membimbangkan, modus operandi yang sama seolah-olah diulang — memanipulasi emosi penyokong melalui naratif moral dan perjuangan — tanpa perubahan substantif terhadap dasar atau hasil yang nyata. Tapi masih ada yg taat dan setia.
Dalam realiti yang jauh lebih membumi, anggota keselamatan terus diperah tenaganya siang dan malam demi memastikan ketenteraman awam, sering kali tanpa perhatian atau penghargaan yang setimpal. Rakyat jelata pula terus dihimpit tekanan ekonomi akibat peningkatan kos sara hidup yang berterusan, termasuk kenaikan harga barangan asas seperti sayur-sayuran. Ironinya, ketika rakyat berjuang untuk kelangsungan hidup, perbahasan politik nasional masih cenderung berputar di sekitar naratif kuasa dan persepsi, bukannya penyelesaian konkrit terhadap masalah sebenar yang dihadapi masyarakat. Jika ada pun hanya temberang semata-mata.
Keseluruhannya, situasi ini memperlihatkan satu jurang yang semakin melebar antara retorik politik dan realiti sosial. Selagi politik lebih tertumpu kepada pengurusan persepsi berbanding pengurusan keperluan rakyat, kepercayaan awam akan terus terhakis, dan legitimasi moral kepimpinan akan kekal dipersoalkan.