ISU DADAH PEGAWAI TUDM — BILAKAH KITA HENDAK MENANGKAP DALANG SEBENAR?
Kita melihat isu ini bukan semata-mata mengenai penglibatan beberapa pegawai dan anggota TUDM yang disyaki dalam kegiatan dadah, tetapi persoalan yang lebih besar mengenai keberkesanan sistem penguatkuasaan negara dalam membanteras rangkaian pengedaran dadah sehingga ke peringkat dalang dan pembiayanya.
Sudah berpuluh tahun kita memerangi dadah. Pelbagai operasi dijalankan, tangkapan dibuat dan rampasan bernilai jutaan ringgit diumumkan. Namun, mengapa bekalan dadah masih begitu sukar dibendung?
Adakah kita benar-benar memerangi punca masalah atau sekadar menangani simptomnya? Atau mungkin kita terlalu ghairah mempersembahkan kejayaan kepada rakyat, dengan anggapan bahawa rakyat tidak begitu memahami apa yang sedang berlaku?
Janganlah terlalu merendah-rendahkan kemampuan rakyat untuk berfikir. Rakyat mungkin tidak mempunyai akses kepada maklumat risikan, tetapi mereka masih mampu menilai keadaan di sekeliling mereka.
Berdasarkan laporan sehingga 28 November 2026, seramai 18 individu termasuk lapan pegawai dan anggota TUDM telah ditahan. Menteri Dalam Negeri turut dilaporkan memaklumkan bahawa dalang utama yang disyaki telah dikenal pasti, tetapi masih belum berjaya ditahan.
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya sudah dikenal pasti.
Cuma, rasanya kenyataan seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu kepada kita. Skripnya agak biasa didengar. Mudah-mudahan kali ini kesudahannya berbeza.
DADAH MUSUH NEGARA — SEJAUH MANAKAH KITA MEMERANGINYA?
Sudah berpuluh tahun dadah diisytiharkan sebagai musuh negara. Seperti kata seorang sahabat saya secara berseloroh, slogan peringatan mengenainya pun boleh kita lihat di sepanjang lebuh raya.
Terima kasih atas peringatan tersebut. Rakyat sudah lama mengetahuinya. Kini rakyat tentunya lebih berminat untuk melihat sejauh mana musuh tersebut berjaya ditewaskan.
Sudah berpuluh tahun juga pelbagai agensi penguatkuasaan menjalankan tugas membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah.
Namun, persoalan ringkas saya ialah:
Mengapa setelah berpuluh tahun berperang dengan dadah, rangkaian kartel yang membekalkan dadah masih mampu beroperasi?
Kita sering membaca berita mengenai tangkapan pengedar, penagih, penghantar dan rampasan dadah bernilai jutaan ringgit.
Tetapi berapa kerap kita mendengar berita mengenai kejayaan melumpuhkan keseluruhan rangkaian kartel, termasuk dalang utama, pembiaya dan pihak yang mungkin melindungi kegiatan mereka?
Mungkin ada. Cuma tidak sekerap berita mengenai tangkapan penghantar dan rampasan dadah.
Nampaknya orang suruhan lebih mudah ditemui berbanding orang yang memberikan suruhan.
APAKAH YANG KITA PELAJARI SEPANJANG PULUHAN TAHUN?
Dengan pengalaman, kepakaran, teknologi dan kemampuan risikan yang dimiliki oleh agensi penguatkuasaan negara, saya yakin banyak maklumat mengenai modus operandi sindiket dadah telah dikumpulkan sepanjang puluhan tahun ini.
Mungkin sebahagian besar maklumat tersebut masih diklasifikasikan dan tidak boleh didedahkan kepada masyarakat umum. Kita memahami keperluan menjaga kerahsiaan maklumat risikan.
Namun, rakyat tidak meminta supaya rahsia operasi didedahkan. Rakyat hanya mahu melihat hasil daripada penggunaan maklumat tersebut.
Maklumat risikan tentunya lebih bernilai apabila diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan, bukan sekadar menjadi koleksi dokumen terperingkat yang semakin bertambah dari tahun ke tahun.
Dalam masa yang sama, kita juga perlu memastikan perkongsian maklumat antara agensi tidak membuka ruang kepada kebocoran yang membolehkan sindiket mengenal pasti kelemahan sistem atau mencari individu baharu untuk diperalatkan.
Walaupun sindiket sentiasa mengubah pendekatan mereka, pengalaman selama puluhan tahun sepatutnya memberikan kita kefahaman yang mendalam mengenai struktur, perkembangan dan cara kegiatan jenayah terancang ini beroperasi.
Persoalannya, adakah kemampuan penguatkuasaan kita berkembang lebih pantas daripada kemampuan kartel dadah menyesuaikan diri?
Atau mungkinkah mereka lebih cekap mempelajari kelemahan sistem kita daripada kita mempelajari kelemahan rangkaian mereka?
Adakah terdapat kelemahan dalam sistem penguatkuasaan? Kekangan perundangan? Kelemahan penyelarasan antara agensi? Kebocoran maklumat? Atau kemungkinan wujudnya unsur rasuah, subahat dan perlindungan daripada pihak tertentu?
Semua kemungkinan ini perlu disiasat secara serius, bukan sekadar diketepikan atau dijawab dengan kenyataan umum yang sudah biasa kita dengar.
Kita tidak menafikan usaha dan pengorbanan anggota penguatkuasaan yang menjalankan tugas dengan jujur dan penuh integriti. Namun, menghargai usaha mereka tidak bermakna kita tidak boleh mempersoalkan keberkesanan sistem yang menguruskan usaha tersebut.
Setelah berpuluh tahun berperang dengan dadah, rakyat tentunya mengharapkan sesuatu yang lebih daripada pengumuman jumlah tangkapan dan nilai rampasan.
Kita sudah terlalu lama mendengar berita mengenai kejayaan dalam pertempuran kecil. Bilakah pula kita akan mendengar berita mengenai kemenangan dalam peperangan ini?
No comments:
Post a Comment