Dalam Islam, rasuah adalah haram dan dosa besar. Ia dianggap memakan harta secara batil, merosakkan keadilan dan amanah, serta menjauhkan pelakunya daripada rahmat Allah. Al-Quran dan hadis dengan jelas melaknat pemberi dan penerima rasuah. Undang-undang Malaysia juga mengiktiraf kedua-duanya sebagai bersalah dan boleh dihukum. Namun dalam amalan, persoalan besar timbul: adakah hukum benar-benar dilaksanakan secara adil dan seimbang?
Satu kelemahan yang sering dipersoalkan ialah ketidakseimbangan dalam penguatkuasaan. Dalam banyak kes, tumpuan lebih tertumpu kepada penerima rasuah, manakala pemberi rasuah—terutamanya pihak berkepentingan besar seperti syarikat dan orang tengah—sering terlepas daripada tindakan tegas. Keadaan ini mewujudkan persepsi bahawa risiko melakukan rasuah adalah rendah, dan akibatnya, rasuah mula dianggap sebagai “kos operasi” dalam perniagaan dan pentadbiran. Selagi pemberi rasuah tidak dihukum setimpal, kitaran rasuah akan terus berulang.
Isu ini menjadi lebih membimbangkan apabila dilihat melalui perbandingan hukuman. Seorang Peguam Kanan Persekutuan yang menerima rasuah RM700,000 hanya didenda dan dipenjara sehari. Sebaliknya, seorang buruh dipenjara 15 bulan kerana mencuri petai, seorang penganggur dipenjara 10 bulan kerana mencuri RM50 dari tabung masjid, dan seorang lagi dipenjara 10 tahun kerana mencuri beras dan sardin. Dalam kes berprofil tinggi, bekas Menteri Besar Selangor yang memperoleh harta bernilai RM6.5 juta hanya menjalani enam bulan hukuman penjara.
Perbandingan ini melahirkan satu persepsi yang amat berbahaya: orang kecil dihukum berat, orang berkuasa dihukum ringan. Apabila hierarki sosial dan politik seolah-olah mempengaruhi hukuman, keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman akan terhakis. Sedangkan keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti dilihat benar-benar adil.
Kesan rasuah pula sangat luas. Ia bukan sekadar kehilangan wang awam berbilion ringgit, tetapi diterjemahkan dalam bentuk projek gagal, kos sara hidup meningkat, perkhidmatan awam lemah dan ketidakadilan sosial semakin melebar. Dalam keadaan ini, ketegasan kerajaan sering dipersoalkan apabila kes kecil diselesaikan pantas, tetapi kes besar berlarutan tanpa kesudahan jelas.
Boleh kah saya keluarkan slogan 'JOM KITA AMALKAN RASUAH' atau 'rasuah untuk mereka saja'.... ini tidak adil!!! Maaf.... melawak ja.